Boleh Ke??

November 15, 2008

KAMPUNG BATAS LINTANG – Setiap pengunjung pasti terkejut dan hairan kerana boleh menikmati roti canai dan teh tarik dengan hanya RM1.

 

Peniaga roti, Jamaludin Shaari, 40, menyatakan bahawa dia mula berkecimpung dalam dunia perniagaan roti ini sejak tahun 2000 lagi dan telah mengalami zaman kejatuhan teruk sehinggalah timbul idea untuk menjual makan dengan harga serendah ini.

 

“Saya pegang prinsip berniaga sambil beramal dan Alhamdulillah sekarang ini saya tetap memperoleh keuntungan walaupun dengan harga yang mungkin tidak masuk akal bagi sesetengah peniaga, katanya.

 

Tegasnya, walaupun dengan harga murah, kualiti roti dan minuman di gerainya tetap menjadi keutamaan.

 

“Biar murah, pelanggan datang pun ramai dan bagi saya kualiti merupakan perkara pokok serta perlu diteliti dalam perniagaan. Jika kita abaikan kualiti, satu hari nanti kita pasti akan jatuh dan perniagaan pun merosot, katanya lagi.

 

Tambahnya, dia amat mementingkan kesihatan dan soal ini perlu dijaga kerana roti canai selalu dikaitkan dengan masalah kesihatan.

 

“Persepsi ini perlu diubah dan caranya ialah dengan mengurangkan minyak dalam roti dan boleh dikatakan roti canai ini tidak ada minyak serta kering, katanya lagi.

 

Warung ini mempunyai 19 jenis roti tetapi dia hanya membuat 3 jenis roti setiap hari iaitu roti kosong, roti telur ,dan paling istimewa ialah roti pattaya.

 

Menurutnya lagi dia tidak menggunakan sebarang jenis pelaris dan hanya menggunakan kelebihan bercakap serta ramah membuatkan pelanggan senang apabila singgah makan di warungnya.

 

“Kalau komunikasi kita bagus, kita tak perlu risau perniagaan kita dan hal ini memang ditekankan berdasarkan pengalaman orang-orang lama,” katanya lagi.

 

Walaupun hanya berniaga roti di kampung, Jamaludin tetap  bersistematik dalam setiap urusan berkenaan akaun.

 

 

“Harga petrol turun tetapi modal tetap tinggi dan boleh mencecah sehingga RM230 hingga RM250 sehari. Dari sinilah perlunya kerja bersistematik dan menggabungkan antara pengalaman dan pembelajaran, katanya yang pernah mengikuti kursus membuat roti ini.

 

Pelanggan, Mohd Azwad Abidin, 17, menyatakan dia selalu makan di warung ini setiaphari pada waktu pagi dan petang.

 

“Bila kita lepak di sini, tekanan pun boleh hilang dan sambil berborak dengan rakan-rakan, kami akan makan roti canai murah ini, katanya.

 

Seorang lagi pelanggan, Husain Sakar, 73, menyatakan bahawa roti dan teh disini sedap dan memenuhi citarasanya.

 

“Rotinya lembut dan tidak berminyak serta persekitaran ala kampung ini yang membuatkan ianya menjadi lebih menarik ekoran wujud suasana santai di sini,” katanya

 

Jamaludin dapat menjual sebanyak hampir 700 biji roti sehari dengan dua shif iaitu shif pertama bermula jam 6.30 hingga 10.30 pagi dan shif kedua pula bermula jam 6.30 petang hinnga 9.30 malam.

 


Kita yang masih sempit

September 11, 2008

Penulis terbaca ruangan mufti Perlis yang mengutarakan pandangannya berkaitan halal dan haram. pemikiran yang kritis dan logik ini membawa satu pendekatan mudah untuk kita menghayatinya. “kita perlukan logo makanan haram, bukan logo halal. Kita hanya ambil tindakan kepada yang menjual makanan haram tanpa meletakkan logo haram. Sebabnya, sepatutnya dalam negara kita yang halal itulah yang banyak, sementara yang haram itu sedikit. Itu selaras dengan prinsip Islam.”

Bukankah lebih mefektif kalau kita melaksanakannya? Jadi tidak perlulah susah payah untuk badan-badan berkaitan penyelarasan halal dan haram ini berpeluh tubuh untuk turun padang ke serata tempat. “Mana mungkin ada orang suka diletakkan cop haram secara tipu-tipu. Maka semua pengusaha akan berusaha agar mereka tidak mendapat atau diwajibkan cop haram. Lalu semua perkara akan beransur menjadi halal. “

Oleh itu, masih berdiam dirikah kita melihat pemikiran-pemikiran sempit ini menguasai minda anak-anak muda yang masih lagi suci dari pemikiran kolot? samalah-smalah kita berganding bahu memikul tanggungjawab ini ibarat kuah sama dihirup, sambal sama dicicah.


Lupakah kita?

September 11, 2008

 

Siapa yang sebenarnya zalim dalam erti kata yang sebenar?

Siapa yang sebenarnya zalim dalam erti kata yang sebenar?

 

 

Biarpun sudah tujuh tahun peristiwa rempuhan bangunan Pusat Perdagangan Dunia (WTC) dan Pentagon berlaku, siapa yang melakukannya, sebab dan bagaimana serangan itu boleh berlaku tanpa dikesan oleh perisikan Amerika Syarikat (AS), terus menimbulkan persoalan.

Kebelakangan ini baik dalam kalangan individu mahupun pertubuhan bebas, percaya bahawa rempuhan pesawat ke atas WTC dan Pentagon seperti ada yang tidak kena dan ada fakta yang cuba disembunyikan. Mereka mengemukakan pelbagai teori ― sebahagiannya berdasarkan beberapa bukti kukuh, baik dalam bentuk dokumen mahupun gambar. Mereka menganggap semuanya jelas sebagai pembohongan dan wujudnya konspirasi peringkat tertinggi untuk memberikan imej buruk terhadap Islam.

Salah sebuah pertubuhan yang tidak jemu-jemu membongkar di sebalik kejadian itu ialah Pertubuhan ReOpen 911 yang diasaskan oleh Jimmy Walter dan disokong oleh beberapa individu. Mereka bergerak ke serata dunia meraih sokongan antarabangsa – mendesak agar siasatan terhadap tragedi 11 September dibuka semula.

Dalam dokumen yang bertajuk, Confranting the Evidence: A Call to Reopen the 911 Investigation, ReOpen 911 mengemukan banyak bukti yang boleh dipersoalkan termasuk beberapa keping gambar yang meragukan. Bukti tersebut turut disokong oleh beberapa orang saksi yang terselamat. Antaranya ialah William Rodriguez yang mendakwa berlaku letupan kuat dan keadaan yang panas di bahagian bawah tanah WTC dalam tempoh beberapa saat sebelum kapal terbang merempuh bangunan tersebut.

Sangat menjengkelkan apabila kita mengetahui kerajaan Amerika Syarikat (AS) hanya membelanjakan RM2.16 juta (AS$600,000) untuk menyiasat punca bangunan World Trade Center (WTC) runtuh dalam tragedi 11 September 2001.

Mereka terpaksa berbelanja sebanyak hampir RM144 juta (AS$40 juta) bagi menyiasat skandal seks bekas Presiden Bill Clinton dengan pembantu Rumah Putih, Monica Lewinsky yang kos akhirnya mencecah RM234 juta.

Tragedi 11 September 2001 itu dijadikan alasan kuat oleh AS untuk mengebom Afghanistan dalam usaha mereka memburu Osama bin Laden dan kumpulan al-Qaeda yang dituduh mendalangi tragedi 9/11. Namun, tentunya yang lebih ramai terbunuh hanyalah penduduk awam yang tidak berdosa terutama wanita, orang tua dan kanak-kanak apabila perkampungan-perkampungan mereka dibedil dan diserang tanpa sebarang ampun!

Perlu disebut juga ia bagaikan satu usaha untuk melenyapkan Islam kerana kebanyakan mangsa adalah umat agama tersebut yang turut dimomokkan sebagai pengganas! Mungkin kita tidak ragu-ragu untuk mengatakan AS sanggup ‘mencipta’ satu tragedi bagi membolehkan dewan Kongres mereka pada akhirnya terpaksa membenarkan Presiden George W. Bush menyerang pengganas.

Perkara seperti ini sebenarnya bukanlah baru! Ini kerana teknik yang sama pernah dilakukan bagi membolehkan AS mendapat kebenaran untuk menyerang mana-mana pihak. Semasa meletusnya Perang Teluk sehingga Kuwait berjaya diceroboh oleh tentera Iraq yang dipimpin oleh Saddam Hussein pada awal tahun 1990, AS beriya-iya mencari jalan bagaimana mereka dapat membantu Kuwait.


Puasa oh puasa

September 8, 2008
kesabaran dalam menunaikannya

kesabaran dalam menunaikannya

Bila tiba Bulan yang baik serta dirahmati ini, ramai badan-badan yang kuat selama sebelas bulan yang lalu menjadi lemah dek kerana menahan lapar dan dahaga. Semua ini mainan pemikiran kolot yang telah diterapkan kepada belia dan beliawanis dengan pemahaman sekular serta aliran pemikir Kamal Atartuk.  Sungguh tercela mereka yang mengabaikan perintah khas yang termaktub di dalam kitab Maha Pencipta. Bukan semua terlibat dalam modus operandi sedemikian rupa tetapi segelintirnya masih lagi hanyut ditelan gelombang kesesatan.

Jika difikirkan seketika, kalau hanya berpuasa tetapi mengabaikan perintah yang lain, tidak cukup juga. Ibarat membeli kereta tetapi tidak ada tayar. Pelik bukan? Mungkin pelik bagi yang menurutinya tetapi sudah lali bagi yang meninggalkannya. Oleh itu, fikir-fikirkanlah sebaik mungkin kerana usia bukannya semakin muda dan tidak akan muda waima semakin muda sekalipun, perubahan tetap perlu.


Agenda Melayu Dicabar

August 14, 2008

Sedang iklim politik di Malaysia masih lagi hangat, timbul pelbagai provokasi seakan-akan hendak menghancurkan masyarakat Melayu dari pelbagai sudut. Berpangkalkan daripada pemikiran, idealogi sehinggalah kepada perlakuan yang membuatkan survival Melayu tergugat dek ancaman hasil daripada pihak-pihak yang kononya memperjuangkan nasib Melayu.

 Baru-baru ini, hasil daripada pakatan yang kononnya memperjuangkan nasib bangsa mengapikan perkara yang menyentuh sensitiviti Melayu. Persoalannya, mengapa intitusi Melayu menjadi titik tolak untuk menggugat kestabilan yang telah lama wujud dalam sistem pendidikan di Malaysia. Hasil daripada momokan tersebut, impaknya memberi kesan kepada lebih 5,000 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam malah berpuluh ribu bekas pelajarnya di seluruh negara marah terhadap cadangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya 10 peratus kuota kemasukan ke universiti itu dibuka kepada pelajar bukan bumiputera.

Walaupun penulis bukan bekas pelajar Uitm tetapi hal tersebut membuatkan penulis muak dengan agenda kotor yang mungkin didalangi oleh sesetengah pihak yang lain. Tidak mustahil ia merupakan tindakan terdesak berunsur politik yang lebih mirip kepada perjuangan DAP. Kerajaan pula sememangnya tidak mudah ‘digula-gulakan’ dengan permintaan kelonggaran 10 peratus daripada kuota pelajar UiTM untuk bukan bumiputera serta pelajar asing atas alasan bagi mempertingkatkan kualiti pendidikan dan persaingan di kalangan pelajarnya.

 Cuba renungkan sistem pendidikan di Universiti. Ia bukanlah sebuah pertandingan untuk mencari pemenang sebaliknya tempat untuk mendapatkan ilmu serta tempat terbaik. ironinya semua pelajar sememangya layak untuk mendapat tempat terbaik tetapi bertitik tolak daripada hasil usaha yang gigih. Berpaksikan hasil usaha inilah membolehkan kejayaan dicapai bukan disebabkan dengan membuka kuota 10% kepada bukan bumiputera membolehkan anak-anak Melayu mendapat tempat terbaik. ini satu pemikiran yang kuno seterusnya menjadikan ianya situasi menang kepada pihak yang ada kepentingan tersendiri untuk bangsa mereka.

Penyerahan memorandum bantahan keras daripada pelajar bumiputera UiTM di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor kelmarin patut memberi mesej jelas kepada individu berkenaan tentang hasrat untuk mengambil satu lagi hak pendidikan untuk rakyat bumiputera.

Bagi penulis, bantahan keras tersebut sepatutnya diteruskan kepada individu yang berselindung di sebalik boneka yang menyuarakan isi hati individu yang memperjuangkan Malaysian Malaysia. Untuk itu, tahniah kepada pelajar UiTm yang sanggup tidak menggadaikan aset penting pendidikan negara sekaligus memberi amaran bahawa Melayu bukanlah suatu alat untuk diperkotak-katikkan.


Akhbar Saiz Tabloid Lawan Saiz Besar

August 1, 2008
MEDIS memainkan peranan penting dalam percambahan maklumat

MEDIA memainkan peranan penting dalam percambahan maklumat

 

Ketika melancarkan versi tabloid The Times pada akhir 2003, George Brock, editor pengurusannya menyatakan  bahawa adalah amat mustahil untuk mengharapkan sesebuah akhbar untuk tidak berubah, “Semua akhbar sentiasa berusaha untuk menukarkan  kimianya tanpa meletupkan makmal. Sesebuah akhbar perlu menyesuaikan diri dengan mood masyarakat dan kecenderungan serta cita rasa pembacanya.” 

Tidak ada akhbar yang kekal dari segi masthead,  kandungan editorial, gaya penulisan, rekal letak, jumlah halaman, malahan saiz. Kini, akhbar mula berubah saiz iaitu daripada bersaiz lebar  kepada saiz tabloid atau kompak. Akhbar yang tidak berubah akan mengundang kematian awal kerana pembaca menolak akhbar yang tidak memenuhi cita rasa mereka. Akhbar yang berubah, menyesuaikan kandungan dan gaya editorial, dan serasi dengan kehendak pembaca akan mampu menguasai pasaran dengan peningkatan sirkulasi dan seterusnya penambahan pendapatan periklanan.

Bukan mudah untuk menarik minat remaja membangkitkan selera mereka untuk menjadikan sesebuah akhbar itu sebagai wadah dalam membentuk minda mereka. Tetapi dengan meletakkan sesuatu perioriti yang betul dan kena pada tempatnya, tidak mustahil untuk menggoda mereka. Oleh itu, perubahan demi perubahan amatlah perlu untuk lebih trampil bagi meneruskan agenda nasional melibatkan peningkatan corak pemikiran masyarakat.


Kempen Membaca Jangan Tinggal Kempen

July 28, 2008
Proses membaca memerlukan kosentrasi yang tinggi untuk memahami yang tersurat dan tersirat

Proses membaca memerlukan kosentrasi yang tinggi untuk memahami yang tersurat dan tersirat

 

BERAPA banyakkah rakyat Malaysia yang membaca majalah ilmiah jika dibandingkan dengan majalah hiburan yang lain?   Sedang dunia heboh dengan serangan Israel ke atas Labenon, majoriti rakyat Malaysia leka dengan kisah percintaan penuh rahsia Siti Nurhaliza dan “Dato’ K” serta kisah pertunangan dramatik Mawi dan Ina.  Hakikatnya, tidak banyak rakyat Malaysia yang ambil peduli isu perbalahan antara Ehud Olmert dengan pejuang Hizbullah di Timur Tengah. 

 Semua ini menggambarkan pemikiran rakyat Malaysia-rakyat negara ini yang lebih suka membaca bahan bacaan yang berkonsepkan picisan dan kurang daya fikirnya. Bukanlah semua orang termasuk dalam golongan ini, tetapi majoritinya begitu dan lama-kelamaan tidak mustahil bertambah pengikutnya. 

 Menurut Datuk A. Aziz Deraman, Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), kemalasan minda rakyat Malaysia dan sifat lokek mengeluarkan belanja membeli bahan bacaan ilmiah terserlah apabila cetakan 3000 naskah untuk satu judul buku terbitan DBP terlalu sukar dihabiskan dalam tempoh 24 bulan (dua tahun).  Berbeza dengan Masyarakat Jepun umpamanya yang mencatatkan  penghasilan buku mencecah 52 ribu judul buku setiap setahun dan semuanya laris dijual.

 Barangkali bertitik-tolak dari masalah ini, kerajaan mengadakan kempen membaca setiap tahun.  Kempen membaca yang dilancarkan pada 14 Julai tahun lalu yang bertemakan “Bangsa Membaca Bangsa Berjaya” menunjukkan kerajan begitu komited untuk membudayakan budaya membaca di kalangan rakyat negara ini.  Namun sayangnya, segelintir sahaja yang menyokong kempen tersebut. 

 Jika ditinjau kajian membaca yang dijalanakan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan kerjasama Jabatan Perangkaan dan statistik terhadap 60441 orang responden baru-baru ini, 34 peratus daripada mereka hobinya ialah menonton televisyen (TV).  Rancangan hiburan seperti program realiti  TV Akademi Fantasia (AF) mutakhir ini.  Rancangan tersebut mampu menarik banyak penonton daripada segenap lapisan masyarakat.  Namun, lain pula halnya dengan isu yang disajikan dalam bukun ataupun majalah ilmiah.  Sedikitpun tidak mendapat sambutan sehebat AF.

 Tidak salah berhibur tetapi biarlah berpada-pada, perlu sesuai dengan jenis dan kuantitinya.  Kegagalan meletakkan prioriti yang betul, kegagalan bersifat selektif dalam memilih hiburan yang terbimbing, dan kegagalan menapis elemen luar yang kurang baik masih lagi menghantui rakyat negara ini. 

 Harapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menekankan pembangunan modal insan yang berpaksikan masyarakat yang bijak , kritis, dan rasional hanya akan tinggal harapan jika rakyat negara ini masih leka dengan hiburan.  Pemimpin pun tidak mampu berbuat apa-apa jika hanya kempen yang berjalan tetapi masyarakat terus diam dan melukut tanpa ada rasa tanggungjawab dalam diri.

 Melihat keadaan ini, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan bersama Kementerian Pendidikan, menumpukan sasaran kempen membaca tersebut kepada semua golongan.  Kempen kali ini digerakkan untuk jangka masa lima tahun akan datang sejajar dengan aspirasi Rancangan Malaysia Kesembilan.

Dalam keresahan fenomena kemalasan membaca rakyat Malaysia ini, ada juga berita yang boleh dianggap positif .  PNM melaporkan bahawa kadar pembacaan rakyat Malaysia sekarang yamg berumur 1 tahun ke atas ialah 92 peratus.  Ini merupakan pencapaian yang memberangsangkan tetapi untuk mencapai angka seperti ini, Malaysia memerlukan enam tahun semenjak dasar Buku Negara dilancarkan pada 2000.  Jadi, mungkin untuk melihat hasil positif kempen membaca yang dilancarkan tahun lepas, kita perlu menunggu empat tahun lagi.

Mohd Hasif harun, Kempen Membaca Jangan Tinggal Kempen, Dewan Masyarakat 2006